Empat bulan menggalas tanggungjawab selaku Setiausaha Kebudayaan dan Perunding Kreatif di Kementerian Luar, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Ahmad Idham Ahmad Nazri kecewa apabila perkhidmatan mereka diberhentikan tanpa sebarang sebab.
Berdasarkan surat yang diterima daripada Menteri Luar, Datuk Seri Saifudin Abdullah, surat tersebut mengesahkan bahawa kontrak kedua-duanya telah ditamatkan.
Eizlan dalam satu sidang media khas sebentar tadi memberitahu, dia berasa amat ralat atas tindakan yang dikenakan terhadap mereka berdua.
“Ini adalah satu tindakan tidak gentleman daripada menteri kerana tiada alasan kukuh menyatakan sebab kami perlu meletakkan jawatan.
“Kami masuk secara baik. Jika dah tak perlukan khidmat kami, sepatutnya mereka berbincanglah dengan kami secara baik juga.
“Apapun kami menghormati keputusan yang telah dibuat walaupun rasa amat terkilan,” ulas pelakon terbabit.
Eizlan dan Idham mengadakan sidang media khas petang tadi bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.
Sementara itu Idham menyuarakan, dia cukup terkejut menerima surat perletakan jawatan itu pada tanggal 28 Februari lalu untuk surat yang bertarikh 23 hari bulan.