Kakak kepada selebriti popular Neelofa iaitu Noor Nabila akan terus memberi sokongan penuh terhadap bekas suaminya, Sharnaaz Ahmad yang baru-baru ini ditahan reman selama tiga hari selepas didakwa menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium pada 18 Jun lalu.
Menurut Nabila atau nama sebenarnya Noor Nabila Mohd. Noor, 37, sokongan tersebut diberikan kepada pelakon filem Jebat itu memandangkan dia merupakan bapa kepada anak mereka, Jebat Jayden.
“Setakat ini, saya nampak dia okey. Saya tahu apa yang berlaku tetapi tidak boleh komen lebih-lebih sebab semuanya masih dalam proses siasatan polis.
Noor Nabila percayakan Sharnaaz Ahmad
“Apapun yang berlaku, dia tetap bapa kepada Jebat. Walaupun apa sahaja jadi, saya akan tetap berada di belakang dia memberikan sokongan,” katanya.
Tidak pernah terfikir untuk memisahkan hubungan Jebat dengan bapanya kerana isu tersebut, isteri kepada usahawan, Engku Emran itu berkata, dia tahu kebenaran tentang kes tersebut dan percaya dengan penjelasan Sharnaaz.
Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai kejadian tersebut ketika sedang bercuti di Phuket pada Jumaat hingga Isnin lalu.
“Dia seorang yang bertanggungjawab dan sangat menjaga anaknya. Itu tidak boleh dinafikan.
Sebelum itu, pelakon itu ditahan reman selama tiga hari bermula Sabtu lalu selepas dipercayai menumbuk dan menendang seorang lelaki disyaki pengawal keselamatan minggu lalu. – BOOM!