Pelakon dan penyanyi Bella Astillah tampil bersuara berhubung khabar angin mengenai suaminya, Aliff Aziz yang semakin hangat diperkatakan netizen.
Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Bella menjelaskan terpanggil untuk membuat kenyataan selepas melihat sesetengah pencipta kandungan seolah-olah menangguk di air keruh ketika dia dan suami mengambil langkah berdiam diri.
Bella mendakwa, ada kandungan yang dimuat naik berunsur fitnah kerana kenyataan yang pernah dibuat pada dua tahun lalu telah disunting semula dan diubah supaya kelihatan baru.
“Lama kami berdiam diri. Tetapi hari ini terpanggil untuk buat satu posting berkenaan headline dan artikel-artikel yang disebarkan di media sosial (Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube).
“Oleh kerana kami tidak memberikan sebarang kenyataan, para blogger mengambil jalan mudah dengan menggunakan statement Bella pada tahun 2019 dan disunting seolah-olah Bella ada memberi kenyataan yang baru.
“Inilah yang dikatakan fitnah. Kami berusaha berdiam diri tapi makin menjadi,” katanya.
Susulan itu, menurut Bella ramai yang memberi saranan supaya dia mengambil tindakan saman, namun tidak melakukannya kerana banyak lagi perkara lain yang perlu diberi keutamaan.
“Ramai menyarankan kami untuk ambil tindakan dan saman tapi kami ada banyak lagi perkara yang perlu diutamakan.
“Bila kami selalu post gambar bersama orang cakap jangan menunjuk sangat, tapi bila kami tidak post cakap kami bergaduh,” luahnya.
Menurut Bella, fitnah yang dilemparkan sedikit sebanyak menganggu kerja dia dan suami.
“Kami suami isteri sekarang sibuk mencari rezeki, membesarkan anak-anak yang sudah mula bersekolah, dan sedang menjalani rawatan.
“Minta tolong jasa baik anda semua untuk hentikan penyebaran yang tidak berasas ini. Berhentilah sebar spekulasi kerana kami juga punya keluarga di Sabah dan Singapura serta sahabat-sahabat ytang sedang bekerja dan mereka sering ditanya tentang perkara ini,”rayunya.
Dalam hantaran sama, Bella turut menyertakan contoh suntingan video yang telah menimbulkan kekeliruan orang ramai mengenai rumah tangganya. – BOOM!