Mahligai yang dibina selama 10 tahun akhirnya musnah apabila penyanyi Nubhan dan isterinya, Dr Afifah atau lebih dikenali sebagai Dr Fie, sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor hari ini.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Tuan Umamuddin Yunus, selepas Nubhan melakukan dua kali lafaz cerai di luar mahkamah.
Menurut peguam Nubhan, Mohd Redzuan Ramli, penyanyi itu sebelum ini telah melafazkan cerai sebanyak dua kali di luar mahkamah.
“Nubhan mengesahkan dua lafaz cerai di luar mahkamah dan mahkamah telah sahkan lafaz cerai pertama pada 19 Januari 2017 dan berlaku rujuk pada 21 Januari 2017. Untuk lafaz cerai yang kedua berlaku pada 26 Ogos 2025,” katanya dipetik MStar.

Afifah difahamkan telah selesai menjalani tempoh idah sebanyak tiga kali suci.
“Mahkamah mengesahkan dua lafaz cerai dan rujuk tersebut. Pihak Fie diperintahkan untuk melalui proses idah bermula 26 Ogos dan kemungkinan telah habis,” katanya.

Sementara itu, peguam Fie, Datuk Akberdin Abdul Kadir, berkata pihaknya bersedia untuk berunding dengan Nubhan berhubung isu harta sepencarian, mutaah dan nafkah anak.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata hasil perkahwinan mereka.









