Pelakon Linda Hashim meluahkan rasa kecewa susulan penangguhan prosiding kes perceraiannya dengan suami, Beego, yang dijadualkan bersambung pada 9 Februari ini.

Linda berkata, dia sedikit terkilan apabila pihak Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan memberi ruang kepada Beego untuk mengemukakan pembelaan, sekali gus melambatkan proses yang diharapkan dapat diselesaikan lebih awal.
“Saya tak kecewa tak diceraikan, tapi kecewa sebab dia sengaja melengahkan proses. Saya tahu dia sengaja,” katanya dipetik Mstar.
Peguam Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin, menjelaskan pihaknya telah mematuhi semua prosedur ditetapkan mahkamah.
“Sebagai peguam yang mewakili, saya rasa pihak kami sudah berada di landasan yang betul. Kami juga sudah mengikut segala prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya lagi, serahan dokumen telah dibuat lebih awal namun berdepan kesukaran.
“Serahan dan saman penyata tuntutan kami telah buat awal tetapi menerima respons negatif daripada responden. Kami terpaksa serahkan hari ini kerana peguam sebelum ini sudah tidak mewakilinya.”
Linda turut menegaskan penangguhan itu bukan atas dasar perasaan.
“Ini bukan sebab sayang, tapi dia nak melambatkan proses ini. Saya isteri, saya tahu,” luahnya.

Untuk rekod, Linda dan Beego bercerai pada 27 Mac 2023 sebelum rujuk pada 9 April tahun sama. Mereka kemudian dilaporkan bercerai kali kedua selepas beberapa bulan, namun kembali bersama tidak lama selepas itu. – BOOM!










