Pelakon Maria Farida mendedahkan rahsia mengekalkan penampilan awet muda bukan terletak pada rawatan ekstrem, sebaliknya melalui amalan gaya hidup positif. Menurutnya, dia sentiasa berusaha tidur awal, minum air secukupnya dan menjauhkan diri daripada persekitaran toksik demi kesihatan fizikal serta mental.

Maria turut menegaskan dia tidak pernah melakukan suntikan, filler atau sebarang rawatan untuk mengubah bentuk wajah asal kerana prosedur tersebut menyakitkan.
“Saya sebenarnya tidak begitu suka memakai produk penjagaan kulit. Apa yang saya buat hanyalah pergi mendapatkan rawatan kerana saya ditaja, namun rawatan itu sekadar rawatan biasa, bukan jenis cucuk sana sini,” katanya dipetik OhBulan.

Tambahnya, dia lebih selesa menua secara semula jadi dan menghargai kurniaan Allah.
“Bagi saya menua secara semula jadi lebih cantik berbanding cucuk muka hingga kelihatan bengkak dan pelik. Lebih baik kita hargai apa yang Allah telah berikan,” jelasnya.
Mengulas dakwaan netizen mengenai pembedahan plastik, Maria menegaskan kedutan di matanya kelihatan semula jadi apabila dia ketawa, membuktikan dia tidak menggunakan suntikan atau rawatan kosmetik.
“Apabila saya ketawa, semua boleh nampak kedutan di mata dan sebagainya,” katanya.

Maria turut menyentuh soal penampilan diri.
“Saya berpakaian untuk diri sendiri, bukan untuk orang lain. Selagi suami saya OK, saya OK. Saya tidak rasa diri saya seksi, saya rasa diri saya biasa sahaja,” ujarnya. – BOOM!









