Iskandar Ismail, atau lebih dikenali sebagai Eiss, mencipta kejayaan gemilang apabila dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza (GV) 12.
Beliau membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta sebuah trofi selepas 11 minggu bertanding, sekali gus menandakan penat lelahnya akhirnya membuahkan hasil.

Pada persembahan akhir, Eiss memukau penonton menerusi lagu-lagu popular seperti Madah Berhelah, Senja Nan Merah, Cerita Kedai Kopi dan Pink Venom.
Berucap mengenai kemenangannya, Eiss mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga juri GV12 atas bimbingan dan sokongan yang diberikan sepanjang pertandingan.
“Pertama kali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga juri yang sangat bertauliah,” katanya dipetik Mstar.

Tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Mendua dari Indonesia, manakala Nubhan menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM30,000. Mark Adam pula berada di tempat keempat.
Datuk Ramli MS turut memuji persembahan Eiss yang disifatkan sebagai bertenaga dan penuh semangat, selain menampilkan gaya nyanyian seperti sebuah konsert.
“Konsep sangat bagus. Persembahan ganas, menyanyi pun ganas. Awak menyanyi seperti untuk konsert,” katanya dipetik Mstar.

Barisan juri GV12 terdiri daripada Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli MS.
Turut memeriahkan malam finale ialah Datuk Jamal Abdillah, sekali gus menambah kemeriahan pentas GV12. – BOOM!









