Selepas memuat naik sebuah video bersama Shuib Sepahtu di media sosial, rata-rata peminat Zara Zya mahu aktres dan pelawak berkenaan dijodohkan.
Justeru, Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin meminta para peminatnya mendoakan yang terbaik dan sentiasa berfikiran positif.
“Bila muncul saja foto saya bersama lelaki tak kisahlah siapa pun, mesti timbul isu perjodohan ini. Apapun, saya tak kisah, asalkan bukan benda negatif.
“Bukan apa, sebab saya tak nak nanti ada pihak lain terasa hati. Lagipun Shuib ada kehidupan sendiri, sama seperti saya,” ujarnya.
Terdahulu, awal minggu ini menyaksikan suami kepada Allahyarham Siti Sarah itu menghantar Zara ke kereta setelah urusan pertemuan mereka selesai.
“Doakan saja yang terbaik untuk saya. Jika ada berita gembira, saya akan kongsikan. Sekarang ini saya mahu fokus kepada karier terutamanya bisnes yang diceburi,” jawabnya.
Sebelum ini, Zara pernah dikaitkan dengan Hafreez Adam dan juga usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa. – BOOM!