Terbuai dan imbau kenangan. Itu yang boleh digambarkan selepas menonton Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun yang berlangsung minggu lalu.
Bukan sahaja penulis, malah kira-kira lebih 1,000 penonton yang memenuhi dewan Panggung Sari, Istana Budaya berpuas hati dan terhibur selama tiga jam persembahan.
U.K’s mempersembahkan hampir kesemua lagu-lagu hits mereka yang mengimbau semula memori nostalgia.
Tirai persembahan dibuka sekitar pukul 8.45 malam dengan segmen pertama mempersembahkan lagu Kau Satu-Satunya, medley (Kembali Mencari, Membara, Berkat Kasihmu) dan Di Luar Kemampuanku.
Konsert U.K’s sepatutnya berakhir dengan lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu namun atas permintaan dan sorakan peminat, kumpulan itu memilih untuk menyampaikan lagu terakhir berjudul Benar-Benar Sungguh-Sungguh.
Sementara itu, vokalis U.K’s iaitu Amir yang ditemui pada sidang media selepas konsert berakhir mendedahkan tekaknya mengalami luka gara-gara terlalu banyak berlatih.
Tambahnya, dia terpaksa meminta doktor untuk datang ke Istana Budaya sebelum persembahan bagi memeriksa keadaan tekaknya.
“Sebelum mula persembahan doktor ada datang untuk periksa tekak saya. Mereka masuk kamera dari hidung untuk tengok keadaan tekak.
“Nak tengok adakah berlaku bengkak, atau ada luka memandangkan saya dah berlatih di Istana Budaya hampir empat jam setiap hari. Saya risau dan takut ada bengkak, akan menganggu vokal.
“Bila masuk kamera, ada sikit saja luka. Memang saya berdebar… kerisauan saya adalah suara serak, akan ganggu vokal. Saya perlu ada rehat yang secukupnya,” katanya.
Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun berlangsung selama dua malam iaitu pada 17 dan 18 Jun di Istana Budaya. – BOOM!
Sumber: mStar