Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim akui terkejut diberikan notis penamatan kontrak 24 jam, pada Rabu.
Md Nasir berkata, dia menerima surat tersebut yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2023, pada jam 4.30 petang semalam, daripada Pengerusi FINAS,n Datuk Kamil Othman.
Bagaimanapun kata Md Nasir, tiada alasan yang diberi atas penamatan perkhidmatan beliau kecuali arahan daripada Menteri Komunikasi Dan Digital, Fahmi Fadzil.
“Sepatutnya kontrak saya dijangka berakhir pada 31 Oktober 2023 dan penamatan perkhidmatan saya secara notis 24 jam agak memeranjatkan.
“Saya tidak pernah dimaklumkan apa-apa salah laku. Sepanjang bergelar penjawat awam lebih daripada 30 tahun, kebiasaannya tindakan menamatkan perkhidmatan dengan notis 24 jam adalah disebabkan oleh kesalahan jenayah ataupun terdapat isu integriti,” katanya.
Pun begitu, Md Nasir reda dengan apa yang sudah berlaku dan menganggap ia ketentuan tuhan.
“Sepatutnya hari ini saya meraikan Majlis Ulang Tahun Finas Ke-42, tetapi tidak mengapalah saya reda dan menerima ketentuan illahi,” katanya.
Md Nasir ditemui ketika majlis sidang media tergempar yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis.
Ketika ditanya sama ada wujud atau tidak unsur ‘kroni’ dalam pentadbiran Finas yang kurang bersetuju dengan pendiriannya, Md Nasir tidak menafikan perkara tersebut.
“Secara personal saya tidak menolak memang wujud kroni. Benda ini memang tidak bagus, namun ia pasti ada dalam mana-mana organisasi.
“Sidang media ini bertujuan untuk membersihkan nama saya. Saya tidak mahu ada yang anggap bukan-bukan kerana ia berlaku dalam tempoh 24 jam,” ujarnya.
Bercakap tentang perancangan peribadi, Md Nasir mahu mengambil tempoh rehat selepas berkhidmat selama 1 tahun 7 bulan namun masih terbuka untuk bekerjasama dalam pembangunan industri filem tempatan. – BOOM!