Tiga selebriti terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan, Ziana Zain dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Ops Sky.
Menurut sumber, mereka tiba sekitar jam 9.30 pagi namun tidak melalui pintu utama, sebaliknya dibawa masuk menerusi pintu belakang bagi mengelakkan perhatian media.
Sejak jam 9 pagi, lebih 10 pengamal media sudah berkumpul di hadapan bangunan SPRM untuk mendapatkan perkembangan terkini. Namun, kehadiran selebriti tersebut gagal dirakam selepas mereka dilaporkan memasuki bangunan menerusi laluan khas.
![](https://www.boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2025/02/sprm.jpg)
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan kehadiran tiga selebriti berkenaan bagi memberikan keterangan.
“Mereka bukan suspek, tetapi keterangan mereka diperlukan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Sebelum ini, laporan mendakwa beberapa selebriti menerima bayaran sehingga RM400,000 dalam tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat perunding kewangan yang kini dalam siasatan SPRM.
Ops Sky yang dijalankan baru-baru ini telah menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat tersebut serta beberapa pegawai bank. Setakat ini, 27 individu telah ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat dan seorang orang awam. – BOOM!
Sumber: Berita Harian