Rumah tangga pasangan selebriti Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin mula menjadi perhatian netizen selepas mereka didapati tidak lagi saling mengikuti di Instagram, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai status hubungan mereka.
Lebih mencurigakan, Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah Mad Tahil kini sering berkongsi status yang penuh dengan makna tersirat menerusi platform Threads.

Salah satu perkongsian yang dimuat naik pada 10 Jun lalu mengundang pelbagai andaian daripada peminat.
“Aku belajar tak menutup pintu sepenuhnya, tapi juga tak membukanya untuk semua.
Ada hal-hal yang cukup disentuh dari kejauhan,” tulis Zizi.
Bukan itu sahaja, Zizi turut mendedahkan bahawa dia kini sudah berpindah ke rumah baharu yang disifatkannya sebagai tempat sesuai untuk seorang yang introvert.
“Vibe rumah baru memang ngam! Sunyi, tenang, bunyi-bunyi alam, sesuai untuk introvert,” tulisnya dalam satu lagi hantaran.
Berbeza pula dengan Yusuf, akaun Instagram pelakon dan pengacara itu tidak menunjukkan sebarang hantaran peribadi, sebaliknya lebih tertumpu pada kerjaya.
Malah, gambar bersama Zizi masih kekal di akaunnya dan kali terakhir Yusuf memuat naik foto bersama isterinya ialah ketika sambutan Aidilfitri yang lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan menerusi program hiburan All Together Now Malaysia.
Setakat ini, kedua-duanya masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu ini. – BOOM!









