Pelakon Zara Zya menitipkan pesanan kepada pencinta kucing agar mengambil langkah pencegahan lebih awal, demi mengelakkan penyesalan apabila segalanya sudah terlambat.

Beliau meluahkan kekesalan mendalam yang masih menghantui dirinya hingga kini apabila dua ekor kucing peliharaannya tidak dapat diselamatkan selepas dijangkiti virus leukemia kucing (FeLV).
“Sebelum ini Zara tak berjaga-jaga tentang keadaan kesihatan dua ekor kucing peliharaan. Memang ralat sampai sekarang,” katanya kepada Boom!

Sebaik didiagnosis menghidap FeLV dan keadaan seekor lagi kucingnya, Beshetik, semakin teruk, pelakon itu berkata dia mula mengambil langkah berjaga-jaga.
Menurut beliau, dia memastikan haiwan itu menjalani rutin pemeriksaan setiap bulan selain memberikan makanan tambahan yang dicadangkan veterinar.
“Saya terkejut dan susah hati bila dapat tahu yang Beshetik positif FeLV. Selepas tahu keadaan shetik makin teruk saya rajin bawa shetik check up setiap bulan dan beri dia supplement yang doktor suggest,” katanya.

Pada masa sama, pelakon drama Risik Pada Hati itu menyeru agar peminat kucing dan pemilik haiwan peliharaan lain supaya sentiasa bersedia dari segi mental dan tindakan.
“Nasihat saya, kita kena rajin bawa haiwan peliharaan ke klinik atau minta pendapat sesiapa untuk mencari penawar terbaik bagi sembuhkan haiwan kesayangan kita,” katanya. -Boom!









