Oleh : Ainn Ismahani
Pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam menyatakan sokongan kepada Syamsul Yusof, jika anaknya itu ingin menghasilkan filem berkisahkan serangan genosid di Gaza.

Beliau berkata, ia langkah positif untuk meningkatkan kesedaran mengenai penindasan yang berlaku ke atas Palestin.
“Saya rasa itu usaha yang baik untuk menyedarkan masyarakat, bukan kepada Islam sahaja tetapi kepada dunia.

“Apa berlaku di Gaza dan juga di tempat-tempat lain seperti di tebing Barat adalah penganiayaan genosid terhadap umat Islam,” katanya kepada Boom!
Yusof berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan seorang pengarah Indonesia, Jastis Arimba, baru-baru ini yang mencadangkan agar Syamsul menghasilkan filem yang menyuarakan perjuangan rakyat Palestin.

Menurut Yusof, 71, mesej sebegitu penting untuk diketengahkan agar masyarakat sama ada Islam mahupun bukan Islam memahami hakikat sebenar situasi di Timur Tengah.

Beliau juga melihat filem bukan sekadar hiburan tetapi wadah dakwah serta kesedaran sosial yang mampu menyentuh hati masyarakat.
-Boom!









