Datuk Yusof Haslam pernah berada dalam keadaan terdesak apabila mencagarkan sijil kelahiran anak kepada peminjam wang tidak berlesen atau ah long demi mendapatkan modal penerbitan drama dan kontrak bernilai RM300,000.

Pengarah, penerbit dan pelakon itu menjelaskan pembabitannya dalam dunia penerbitan bermula selepas Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuka tender drama, mendorongnya merebut peluang atas galakan rakan.
“Selepas lima bulan Restoran Haslam beroperasi, saya buka Skop Production pada 1985. Kebetulan RTM laksanakan projek penswastaan drama. Mereka buka tender kepada penerbit tempatan. Saya ambil peluang atas galakan sahabat, Datuk Latifi yang ketika itu pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP). Saya sanggup bergolok gadai termasuk meminjam daripada ah long Melayu hingga terpaksa cagarkan surat beranak anak,” katanya dipetik program audiosiar Buat Saja Podcast.

Pengorbanan Yusof berbaloi apabila beliau berjaya memperoleh kontrak drama bernilai RM300,000 daripada RTM. Dari situ, katanya, lahir projek kedua dan seterusnya.

Beliau berkata, kesedaran untuk bergelumang dalam dunia penerbitan timbul kerana hasrat arwah bapanya yang tidak mahu kehidupannya dia berterusan dengan karier sebagai pelakon semata-mata.

Selepas lima tahun menerbitkan lebih 40 drama, Yusuf tampil dengan filem sulungnya, Bayangan Maut, lakonan Noor Kumalasari dan Ella, yang berjaya mencatat kutipan RM1 juta. -Boom!









