YoonA, anggota kumpulan popular Girls’ Generation, kini mengambil langkah tegas terhadap individu yang menyebarkan kandungan jahat dan fitnah terhadapnya di media sosial.
Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan oleh agensinya, SM Entertainment pada 10 Jun, mereka memaklumkan bahawa tindakan undang-undang telah dimulakan susulan pelbagai pelanggaran hak terhadap YoonA yang dikesan melalui pemantauan serta laporan peminat di platform KWANGYA 119.
“Kami mengesahkan kewujudan hantaran berniat jahat termasuk penyebaran maklumat palsu, fitnah dan cemuhan terhadap artis kami, YoonA.
Satu aduan telah difailkan dan kami kini bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan,” ujar wakil SM Entertainment.
Agensi itu turut menegaskan bahawa mereka akan mengambil semua tindakan sivil dan jenayah yang mungkin terhadap sebarang perlakuan melanggar undang-undang sama ada menggunakan nama sebenar, singkatan, gelaran atau watak tertentu yang merujuk kepada artis tersebut.

“Tiada sebarang rundingan atau penyelesaian akan diterima.
Kami akan bertindak tegas dan tanpa pengecualian,” tegas mereka.
Penyebaran kandungan berunsur fitnah, sama ada dalam bentuk teks mahupun visual, adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
SM Entertainment turut menggesa orang ramai agar bertindak secara bertanggungjawab dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang pelanggaran undang-undang. – BOOM!










