Wetland Studios, taman tema edutainment di bawah pengurusan KRU Studios, bakal mencatat sejarah baharu apabila mula beroperasi pada waktu malam bermula 12 September 2025.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Dato’ Norman Abdul Halim, Wetland Studios yang telah beroperasi selama 28 bulan akan menambah waktu operasi sempena cuti sekolah yang bermula 13 September 2025. Sepanjang tempoh tersebut, taman tema ini akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari sehingga 20 September 2025.

“Langkah ini bertujuan memberi peluang lebih ramai pengunjung merasai pengalaman unik Wetland Studios pada waktu malam dengan suasana yang lebih meriah,” jelas Dato’ Norman.
Selepas musim cuti sekolah, operasi malam akan diteruskan pada setiap hari Jumaat, Sabtu serta cuti umum di Putrajaya. Inisiatif ini bukan sahaja dijangka meningkatkan jumlah pengunjung, malah turut menyemarakkan sektor pelancongan domestik. – BOOM!









