Penyanyi bersuara merdu, Wany Hasrita, kembali menghangatkan suasana perayaan dengan single Raya terbarunya, “Raya Telah Tiba”, terbitan Sony Music Malaysia.
Berbeza dengan lagu-lagu Raya sebelum ini, kali ini Wany tampil dengan elemen muzik yang lebih rancak, segar, dan mencuit hati. Lagu ciptaan Affan Mazlan ini menggabungkan pop moden, elemen Melayu klasik dan sentuhan rock, menjadikannya unik serta mudah diingati.
“Lagu ini sangat ‘straightforward’, ia bercerita tentang perkara yang kita lalui setiap kali perayaan. Dari berpuasa penuh, persiapan pulang ke kampung, tergesa-gesa hendak sampai ke destinasi, sehinggalah keterujaan hendak ‘ber-OOTD’ dengan baju Raya yang cantik,” kata Wany mengenai konsep lagu ini.
Menariknya, rakaman lagu ini hanya mengambil satu hingga dua jam sahaja kerana keserasian Wany dengan melodi dan liriknya sejak kali pertama mendengar.
Wany berharap “Raya Telah Tiba” akan menjadi lagu wajib dalam playlist peminat sepanjang musim perayaan, terutama bagi mereka yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung.
Lagu ini telah dilancarkan pada 7 Mac 2025 di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube. Jangan lupa nantikan pelancaran MV rasmi tidak lama lagi. – BOOM!