Walaupun bukan lagi sebahagian daripada kumpulan Dolla, penyanyi Syasya Rizal tetap menunjukkan sokongan penuh terhadap kejayaan kumpulan yang pernah menaikkan namanya itu.
Menerusi satu perkongsian di Instagram Stories, Syasya meluahkan rasa bangga dengan pencapaian terkini Dolla yang tampil dengan lagu serta video muzik baharu yang memukau.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira untuk Dolla. Mereka layak menerima pengiktirafan daripada comeback ini,” katanya.
Syasya atau nama penuhnya Norsyasya Afiqah Shahrizal turut menyatakan dia akan terus menyokong kejayaan kumpulan tersebut kerana tahu betapa gigih mereka berusaha.
“Saya akan sentiasa sokong untuk kejayaan Dolla sebab saya tahu bagaimana mereka meletakkan sepenuh hati pada apa saja yang diusahakan,” tambahnya.
Walaupun kini membawa haluan sendiri, Syasya menegaskan sokongannya terhadap Dolla tidak akan pudar.
“Walaupun jalan kita sudah berbeza, hati dan sokongan saya akan sentiasa bersama Dolla,” jelasnya.
Dalam masa sama, Syasya turut mendoakan agar Dolla terus mencipta nama dengan bakat luar biasa setiap ahli.

Terdahulu, Syasya mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengunduran dirinya daripada Dolla atas sebab peribadi, seperti yang diumumkan oleh Universal Music Malaysia.
Sebagai info, Syasya telah mendirikan rumah tangga dengan Nasrullah pada 20 April 2023 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Yassir Hayyan pada 23 Disember 2024. – BOOM!









