Pelakon Qi Razali berkongsi insiden di luar jangka yang berlaku di set penggambaran apabila beliau dilemparkan kotak rokok secara tiba-tiba.

Beliau berkata, pengalaman tidak enak itu mengejutkannya kerana aksi sebegitu sewajarnya dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu.
“Pernah terjadi pada saya, seorang pelakon bertindak tanpa berbincang terlebih dahulu. Ketika itu, ada babak yang tegang, dia tiba-tiba mengambil kotak rokok dan membalingnya ke arah muka saya,” katanya.

Bagaimanapun, bekas anggota band OAG itu berkata, dia cuba kekal profesional ketika bekerja dan meneruskan penggambaran.
“Sebagai seorang pelakon profesional, saya tidak boleh berhenti atau keluar daripada watak pada masa itu.
“Jadi lepas pengarah menyebut ‘cut’, saya terus bertanya kepadanya mengapa dia melakukan sedemikian.
“Sepatutnya, untuk aksi sedemikian hanya wajar berlaku selepas perbincangan terlebih dahulu. Spontan itu sepatutnya berlaku berdasarkan emosi dan konteks babak, bukan aksi yang dilakukan secara mengejut,” katanya dipetik Mstar.

Tambah Qi, hal yang berlaku menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap rakan artis bahkan membuatkannya berasa seolah-olah watak dilakonkan tidak penting.
“Meskipun dia pelakon utama dan babak itu tiada kesan pada watak kita, bagi saya cara itu tetap tidak elok,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa komunikasi amat penting bagi memastikan penggambaran dapat berjalan dengan lancar. – BOOM!









