Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan keunggulannya di pentas antarabangsa apabila diberi penghormatan mengadakan persembahan istimewa sempena majlis makan malam rasmi meraikan Presiden China, Xi Jinping dan delegasinya di Seri Perdana, Putrajaya.
Menerusi perkongsiannya di TikTok, Siti Nurhaliza menyifatkan peluang itu sebagai satu momen bermakna dalam karier seninya.
“Setulus terima kasih atas jemputan dan kesempatan berharga ini. Semoga jalinan persembahan antara Malaysia dan China terus mekar dan kukuh,” katanya ringkas namun penuh makna.
Siti Nurhaliza mendendangkan dua buah lagu istimewa – lagu tradisional Melayu “Cindai” serta lagu klasik Mandarin, “The Moon Represents My Heart“, yang pernah dipopularkan oleh Teresa Teng.
Aura dan kemerduan vokal Siti Nurhaliza jelas memukau hadirin termasuk Presiden Xi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh delegasi China yang memberikan tepukan gemuruh sebaik persembahan tamat.
Majlis itu diadakan bersempena lawatan negara Presiden Xi ke Malaysia selama tiga hari bermula Selasa lalu – yang merupakan kunjungan rasmi keduanya dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pada tahun 2013.
Hubungan diplomatik Malaysia-China juga disifatkan semakin erat sejak kedua-dua negara menjalin Perkongsian Strategik Komprehensif.
Lawatan ke Malaysia ini juga adalah sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Xi bagi tahun ini, selain Vietnam dan Kemboja. – BOOM!