Pelakon dan model terkenal, Luna Maya, berjaya menceriakan hati murid-murid sekolah rendah di Enoraen, Kupang, Nusa Tenggara Timur (NTT), selepas sekolah yang dibaik pulih oleh yayasannya siap dan dirasmikan.
Sebelum ini, keadaan sekolah tersebut sangat daif, hanya berdindingkan buluh dan berbumbung zink. Malah, kerusi di dalam kelas juga sangat sederhana dan sekolah itu tidak mempunyai tandas.
Setahun selepas kunjungan pertamanya, usaha Luna Maya membuahkan hasil apabila sekolah itu akhirnya siap direnovasi dan sedia digunakan oleh murid-murid.
Dalam satu video yang dikongsikan di Instagram, Luna Maya kelihatan dikerumuni murid-murid sekolah rendah yang berebut-rebut ingin memeluknya.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke Sekolah Rendah Enoraen, Kupang, NTT,” tulis Luna Maya di ruangan kapsyen.
Luna turut berharap agar sekolah baharu ini mampu memberi semangat kepada anak-anak untuk menuntut ilmu dengan lebih bersungguh-sungguh.
“Semoga dengan wajah baharu sekolah ini, ia dapat menyuntik semangat murid-murid untuk belajar dan menjadi lebih berjaya,” katanya.
Perkongsian Luna Maya mendapat pujian ramai yang tersentuh dengan usaha dan keprihatinannya membantu pendidikan anak-anak di kawasan pedalaman. – BOOM!