Rumah tangga pelakon Nur Nilam Ortiz dan suaminya, Azlan Komeng terus menjadi perhatian apabila adik kepada pelakon itu, dikenali sebagai Epul, mendakwa seorang wanita yang dikatakan bakal madu kakaknya telah datang menyerang di rumah mereka.
Menerusi hantaran di TikTok, Epul mendedahkan wanita tersebut berdiri di hadapan rumah mereka dan kelihatan seperti ingin mencetuskan pergaduhan.
“Ada seorang perempuan gila datang rumah serang kakak aku. Aku geram s*al. Aku rasa semua tahu fasal kes kakak aku, Nur Nilam dengan Azlan Komeng,” luah Epul dalam nada marah.
Epul turut menjelaskan, ketika kejadian berlaku, dia dan Azlan berada di rumah dan berjaya mengelakkan insiden lebih buruk daripada berlaku.
“Perempuan tu terpacak depan rumah nak serang kakak. Nasib baik aku dengan abang Azlan ada. Kalau ikutkan hati aku, ini (penumbuk) dah pergi singgah muka dia.”
Meskipun enggan mencampuri urusan rumah tangga kakaknya dan Azlan, Epul mengakui tidak dapat menahan rasa marah dengan tindakan wanita berkenaan yang datang sesuka hati.
Tambah Epul, dia sudah menyarankan agar kakaknya membuat laporan polis, namun hasrat itu dihalang oleh Azlan.
“Aku dah cakap dengan kakak buat laporan, tapi abang Azlan tahan. Kalau ada barang dekat tangan masa tu, memang aku lempar dekat muka dia.”
Terdahulu, rumah tangga pasangan yang bernikah pada 22 Januari 2022 itu menjadi bualan hangat selepas tersebar berita mengatakan Azlan bakal berkahwin seorang lagi.
Kontroversi semakin hangat apabila Nur Nilam berkongsi video hadir ke mahkamah syariah, diikuti pengakuan Azlan bahawa isterinya telah memfailkan permohonan fasakh, namun dinafikan oleh Nur Nilam sendiri. – BOOM!