Pelakon antarabangsa Vin Diesel mengesahkan Cristiano Ronaldo akan muncul dalam filem Fast X: Part 2. Kenyataan itu menguatkan spekulasi peminat mengenai peranan khas Ronaldo dalam filem penuh aksi tersebut.

Dalam hantaran media sosialnya, Diesel menegaskan Ronaldo benar-benar terlibat dan peranan khas telah dicipta khas untuknya dalam filem.
“Semua orang bertanya, adakah dia akan berada dalam mitologi Fast… Saya kena beritahu, dia adalah orangnya. Kami menulis peranan khas untuknya,” katanya.
Flem itu dijadualkan ditayangkan pada April 2027.

Semasa acara Fuel Fest Jun lalu, Diesel berkongsi yang dia bersetuju tentang tayangan akhir Fast Furious dengan syarat tertentu, menghormati permintaan dan harapan peminat.
“Baru semalam saya bersama Universal Studios… studio itu bertanya kepada saya, ‘Vin, bolehkah kita mengadakan tayangan akhir Fast Furious pada April 2027?’ (Saya setuju) jika dengan tiga syarat kerana saya mendengar suara peminat saya,” katanya dipetik CNA Lifestyle.

Diesel menambah tentang fokus utama episod akhir adalah menyatukan kembali watak Dom dan Brian O’Conner (watak dimainkan mendiang Paul Walker) untuk memuaskan peminat.
“Perkara ketiga ialah menyatukan semula Dom dan Brian O’Conner. Itulah yang akan anda dapat dalam episod akhir” ujarnya lagi.

Walker meninggal dunia akibat kemalangan pada 30 November 2013 sebelum sempat menghabiskan baki penggambaran untuk Fast & Furious 7.
Filem kali ini menampilkan penggunaan CGI canggih serta bakat artis VFX termasuk adik-beradik Cody dan Caleeb Walker, menjanjikan pengalaman aksi yang lebih mendebarkan bagi peminat filem Fast and Furious. -Boom!








