Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri akhirnya tampil menjelaskan kebenaran di sebalik video memaparkan dirinya menaiki jet peribadi bersama isteri dan anak sulung, Ammar Ahyan, yang mencetuskan pelbagai spekulasi hangat di media sosial.
Menerusi hantaran video terdahulu, Aliff mendakwa pesawat tersebut adalah hasil keuntungan perniagaan jeruk mangga milik keluarganya.
Namun, ramai mempersoalkan kesahihan kenyataan itu sehingga mencetuskan tanda tanya sama ada dia benar-benar memiliki jet tersebut.
Terbaru, Aliff akhirnya membuka mulut dan mengakui video tersebut hanyalah strategi pemasaran sempena pelantikannya sebagai duta rasmi sebuah jenama emas tempatan.
“Alhamdulillah, inilah maksud tersirat video jet yang papa dan mama nak kongsi haritu.
Papa dan mama bersyukur sangat dilantik menjadi duta rasmi Kedai Emas @sitijewelsmy,” katanya.
Dalam kenyataan lanjut, Aliff menjelaskan mereka masih belum memiliki kemampuan untuk membeli pesawat mewah itu.
“Kami belum mampu beli jet lagi buat masa ni, insya-Allah satu hari nanti.
Papa nak pesan, kalau ada duit lebih, melaburlah dengan beli emas,” tambahnya lagi.
Sementara itu, ramai warganet menganggap tindakan tersebut satu strategi bijak bagi menarik perhatian ramai terhadap kempen promosi emas yang dijayakan usahawan itu. – BOOM!









