Pereka fesyen tersohor yang juga bekas anggota kumpulan Spice Girls, Victoria Beckham, menerima pengiktirafan tertinggi daripada Kementerian Kebudayaan Perancis atas sumbangannya dalam industri fesyen serta hiburan di peringkat antarabangsa.

Victoria, 51, dianugerahkan gelaran Knight of the Order of Arts and Letters (Chevalière de l’Ordre des Arts et des Lettres) dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di Paris pada 26 Januari lalu.
Anugerah Knight of the Order of Arts and Letters diberikan kepada individu yang dianggap memberi sumbangan besar kepada kehidupan budaya Perancis dan berbeza daripada Legion of Honour (Legion d’Honneur), iaitu anugerah tertinggi negara tersebut.

Dalam ucapannya, Menteri Kebudayaan Perancis, Rachida Dati, memuji perjalanan kerjaya Victoria yang disifatkan berjaya membina hubungan erat dan berpanjangan dengan Perancis.
“Melalui perjalanan, hasil karya dan komitmen anda, anda telah menjalin ikatan yang mendalam, tulus dan berkekalan dengan Perancis,” katanya.

Victoria mula mempersembahkan koleksi fesyennya di Paris sejak 2022 selepas sebelum ini mengadakan pertunjukan di London dan New York, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pereka fesyen bertaraf global.

Bagaimanapun, majlis tersebut diadakan secara sederhana berikutan dakwaan mengejutkan oleh Brooklyn Beckham minggu lalu, yang mendakwa ibu bapanya cuba merosakkan hubungannya dengan isteri, Nicola Peltz.
Dalam satu hantaran di media sosial, Brooklyn mendakwa Victoria pernah mengambil alih tarian pertamanya pada hari perkahwinannya selain bertindak tidak sesuai. – BOOM!









