Penampilan pelakon legenda Hong Kong, Louis Koo dalam video promosi berdurasi seminit bersama pempengaruh terkenal, Sofyank, mencetuskan fenomena apabila ia berjaya meraih lebih sejuta tontonan hanya dalam tempoh 12 jam!
Menerusi video yang dimuat naik bersempena pelancaran filem Behind The Shadow, Louis mengejutkan ramai apabila keluar dari poster filem dan berkata “Jom support!” dengan loghat Kantonis yang mencuit hati.
Menurut Sofyank atau nama sebenarnya Mohamad Sofian Abdullah, 29, peluang bekerjasama dengan pelakon yang ditontonnya sejak kecil merupakan satu pengalaman luar biasa.
“Louis Koo antara pelakon yang saya tonton dari kecil.
Bila dapat satu skrin dengan dia, rasa macam mimpi,” katanya.
Walaupun mereka hanya diberi 20 minit untuk rakaman, Sofyank memuji sikap profesional dan mesra Louis yang turut menyumbang idea spontan sepanjang sesi penggambaran.
“Kami minta dia sebut ayat ringkas dalam Bahasa Melayu.
Dia terus setuju dan cuba sebaik mungkin. Itu buat kami semua rasa dihargai,” tambahnya.
Menariknya, filem Behind The Shadow yang dibintangi Louis Koo turut menampilkan pelakon tempatan, dan menjalani penggambaran sepenuhnya di Malaysia.
“Bila filem Cina besar macam ni pilih lokasi 100 peratus di Malaysia, itu satu penghormatan besar buat industri kita. Harap lebih ramai pembikin filem luar buka mata tentang potensi bakat tempatan,” ujar Sofyank.
Behind The Shadow yang mengetengahkan kisah jenayah dan penyiasatan misteri akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 12 Jun ini. – BOOM!
Sumber: Kosmo! Online



![[V] Video Gandingan Sofyank & Louis Koo Raih 1 Juta Tontonan!](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2025/06/SOFYANK-FEATURE-750x375.png)





