Pelakon dan pengarah tersohor, Datuk Aaron Aziz mengambil langkah berani apabila menyeru bekas banduan serta bekas pelajar Sekolah Henry Gurney untuk hadir sesi uji bakat lakonan di bawah produksi miliknya, Aaron Aziz Production.
Menerusi perkongsian di media sosial, Aaron menyuarakan komitmennya untuk membantu golongan tersebut diberi peluang kedua dalam hidup, khususnya dalam dunia seni lakon.
“Anda seorang bekas banduan? Pernah duduk penjara, pernah duduk Sekolah Henry Gurney?
Orang ramai cakap korang tak ada masa depan?
Korang memang hancur, tak ada harapan?
Tak boleh masuk dalam kalangan masyarakat yang baik?” katanya.
Menurut Aaron, beliau mahu membuktikan bahawa setiap insan berhak bangkit semula dan membina masa depan yang lebih baik.
“Pastikan jawapan anda adalah tidak dan anda berani buktikan.
Saya akan tolong anda. Macam mana?
Sila datang uji bakat untuk projek terbaharu saya,” tambahnya lagi.
Sesi uji bakat terbuka ini ditujukan kepada lelaki berusia 16 hingga 50 tahun tanpa mengira latar belakang atau pengalaman.
Malah, individu yang tiada asas lakonan turut dialu-alukan, asalkan memiliki keberanian untuk mencuba. – BOOM!



![[V] “Saya Akan Tolong Anda..” – Aaron Aziz Seru Bekas Banduan Sertai Dunia Lakonan](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2025/07/AARON-FEATURE-750x375.png)





