Pelakon dan pelawak, Shahrol Shiro mendedahkan dia pernah berasa kekok dan janggal sewaktu berbaik semula dengan sahabat lamanya, Ajak Shiro, tahun lalu.
Menurut Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 41, meskipun hubungan mereka kembali pulih, namun detik awal perdamaian bukanlah sesuatu yang mudah.
“Sewaktu mula-mula mahu berbaik itu, bohonglah kalau tiada rasa ‘awkward’.
Nak sembang pun macam susah, kami berdua kena tengok kiri dan kanan semasa mahu berbual,” katanya dalam audio siar bersama Ajak dan pelawak Danial Zaini.
Shahrol yang kini aktif dalam arena politik turut menyifatkan apa yang berlaku antara mereka sebelum ini sebenarnya membawa hikmah tersendiri dalam hubungan persahabatan mereka.
“Apa yang perlu kita pandang ialah hikmah disebalik kejadian itu.
Hikmahnya adalah saya dan Ajak bersatu kembali pada masa sekarang,” tambahnya lagi.
Sekadar imbasan, konflik antara Shahrol dan Ajak mula menjadi perhatian pada Ogos 2022 apabila mereka saling berbalas kenyataan berhubung isu berkaitan sebuah stesen radio.
Namun, kedua-duanya memilih untuk berdamai pada tahun 2024 demi menjaga ukhuwah yang telah terjalin sejak sekian lama. – BOOM!



![[V] “Rasa Segan Nak Mula Cakap” – Shahrol Shiro Akui Janggal Waktu Berbaik Semula Dengan Ajak](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2025/06/AJAK-FEATURE-750x375.png)





