Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib, iaitu Watie Hanifiah, mengesahkan dirinya mengalami keguguran pada 11 Mei lalu.
Berita sedih itu dikongsikan Watie atau nama penuhnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah menerusi satu hantaran menyentuh hati di Instagram, khas buat zuriat yang telah pergi meninggalkan dunia.
Watie meluahkan rasa sebak apabila mengenang mimpi yang dialaminya sebelum kejadian itu berlaku iaitu satu petanda awal tentang kehilangan bayi dalam kandungannya.
“Siang malam Mummy berendam air mata fikirkan kamu. Maaf kerana tak menjaga kamu dengan baik saat kamu ada di dalam rahim Mummy,” tulisnya.
Tambah Watie, dia juga terkilan kerana tidak cukup menghargai rezeki Allah yang dikurniakan dengan begitu mudah, dan mula merasa resah apabila mimpinya seolah-olah menjadi kenyataan.

“Mummy dah dapat petanda dari mimpi yang Mummy akan keguguran. Setiap masa Mummy fikir, adakah mimpi itu akan jadi kenyataan?” tambahnya.
Akhirnya, pada tanggal 11 Mei 2025, Watie menerima berita yang cukup memilukan iaitu bayinya telah pergi buat selama-lamanya.
“11 Mei 2025, Mummy dapat berita kamu betul-betul pergi tinggalkan Mummy,” tulisnya lagi.

Meskipun dihimpit kesedihan, Watie reda dengan takdir dan percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Dia turut mengucapkan penghargaan buat para netizen yang tak henti menitipkan doa dan kata-kata semangat. – BOOM!



![[V] “Maaf Tak Jaga Kamu Dengan Baik” – Watie Reda Keguguran, Kongsi Mimpi Petanda Awal](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2025/05/WATIE-FEATURE-750x375.png)






