Lady Gaga mencuri perhatian ketika menjadi hos Saturday Night Live (SNL) apabila secara berseloroh mengulas mengenai filem terbarunya, Joker: Folie à Deux, yang menerima anugerah Razzie bagi kategori filem sekuel terburuk.
“Anyway, saya sekarang seorang pelakon,” kata pemenang Oscar dan Grammy itu dalam monolog pembukaannya.
“Saya memilih filem yang menunjukkan bakat lakonan serius saya, seperti Joker 2. Orang kata filem ini hebat. Saya dan Joaquin [Phoenix] malah dicalonkan untuk Razzie, iaitu anugerah bagi filem terburuk tahun ini. Kami memenangi kategori ‘duo di skrin paling teruk’,” katanya berseloroh.
Namun, Gaga melihat perkara itu dari sudut positif.
“Tapi siapa yang rugi? Saya suka menang anugerah. Razzie ini membawa saya selangkah lebih dekat kepada EGORT. Ia seperti EGOT, tapi menyakitkan,” katanya, merujuk kepada pengiktirafan besar dalam dunia hiburan.
Dia turut menambah, “Malam ini, saya berjanji untuk berlakon, menyanyi dan tidak akan buat Joker 3.”
Joker: Folie à Deux merupakan sekuel kepada filem Joker yang diarahkan oleh Todd Phillips. Joaquin Phoenix kembali sebagai Joker, manakala Lady Gaga memegang watak Lee Quinzel, kekasihnya.
Filem itu mendominasi pencalonan Razzie Awards dengan tujuh kategori dan memenangi dua anugerah: Worst Prequel, Sequel, Remake or Rip-Off serta Worst Screen Combo.
Selain itu, Lady Gaga juga baru melancarkan album studio keenamnya bertajuk Mayhem, yang mengandungi 14 lagu, termasuk Disease dan Die With a Smile – lagu yang memenangi Anugerah Grammy. – BOOM!