Pelawak Shahrol Shiro berpendapat tindakan tiga penyampai radio, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin yang memohon maaf secara terbuka selepas didakwa mempersendakan upacara agama lain adalah langkah yang tepat.
Menerusi hantaran di Instagram, Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi turut memuji sikap profesional trio berkenaan yang memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Isu yang viral kali ini sama dengan KK Mart dan Cecelia Yap. Satu tindakan tepat yang kalian buat adalah memohon maaf.
“Video yang viral, memang jelas kalian salah sebab sudah hina agama orang lain. Tapi kalian sudah tampil memohon maaf, turun ke Batu Caves dan kemudian ke MCMC untuk beri keterangan. Nanti akan ke IPD Bukit Aman pula. Kalian juga sudah digantung tugas sebagai penyampai radio,” katanya.
Namun, Shahrol kurang bersetuju dengan tindakan stesen radio menggantung tugas mereka buat sementara waktu sebelum siasatan selesai.
“Kalian sudah minta maaf dan dalam siasatan, sepatutnya tunggu hingga selesai siasatan, baru stesen radio ambil tindakan.
“Macam isu KK Mart, dalam siasatan premis ditutup sementara. Itu barulah hukuman. Kalau boleh, janganlah gantung tugas mereka kerana mereka ada keluarga yang perlu disara.
“Tolong hormat-menghormati sesama kita dan jadikan isu ini sebagai teladan,” katanya lagi.
Terdahulu, video tular menunjukkan Azad dipercayai meniru tarian kavadi sambil Nabil menyebut ‘Vel Vel’, sebelum mereka ketawa. Klip itu mengundang kritikan kerana dianggap menghina kepercayaan kaum Hindu.
Menyedari kesilapan tersebut, Nabil, Azad dan Radin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka. – BOOM!