Pelakon lagenda, Tom Cruise sekali lagi membuktikan kehebatan lakonannya apabila menerima tepukan gemuruh selama lima minit selepas tayangan perdana filem Mission: Impossible – The Final Reckoning di Festival Filem Cannes.
Dalam suasana penuh emosi di Grand Théâtre Lumière, Tom Cruise, 62, hadir bersama barisan pelakon dan krew produksi termasuk pengarah Christopher McQuarrie, Hayley Atwell, Simon Pegg, Hannah Waddingham, Angela Bassett, Esai Morales, Pom Klementieff, dan Greg Tarzan Davis.

Beberapa video tular di media sosial memaparkan Tom berjalan turun ke pentas sambil disambut dengan sorakan dan tepukan yang tidak putus-putus.
Momen itu membuatkan aktor tersebut sebak, dilihat memegang dadanya dan mengangguk sebagai tanda terima kasih.
“I’m very grateful,” kata Tom Cruise kepada penonton sambil menitiskan air mata.
“Saya sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada francais ini selama tiga dekad,” ujarnya lagi.
Tom juga tidak lupa mengucapkan penghargaan kepada Christopher McQuarrie, pengarah yang telah mengemudi empat filem Mission: Impossible, termasuk yang terbaru ini.
Untuk rekod, Mission: Impossible – The Final Reckoning merupakan sambungan kepada filem ketujuh yang asalnya bertajuk Dead Reckoning – Part One.
Selepas tayangan filem tersebut, studio membuat keputusan untuk menukar tajuk filem kelapan agar memberi impak lebih dramatik kepada penonton.
Tom Cruise kembali memegang watak ikonik Ethan Hunt, menjadikan francais ini antara yang paling berjaya dalam sejarah perfileman aksi Hollywood. – BOOM!



![[V] “I’m Very Grateful” – Momen Penuh Emosi Tom Cruise Di Cannes](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2025/05/TOM-FEATURE-750x375.png)






