Peminat BTS dari seluruh dunia menyambut ulang tahun ke‑30 V atau Kim Taehyung dengan cara yang unik dan kreatif.

Di Istana Versailles, Perancis, peminat memasang sebuah bangku batu khas di kawasan Premiere Corner Taman Trianon, lokasi yang mempunyai makna istimewa kerana V pernah mengunjunginya dan membuat penggambaran di situ.

The Korea Herald melaporkan, seorang pegawai istana berkata bahawa ini adalah kali pertama mercu tanda milik kerajaan Perancis membenarkan ruangnya digunakan untuk memberi penghormatan kepada seorang personaliti antarabangsa.

V Global Union yang mewakili kumpulan peminat berkata, bangku itu diwujudkan sebagai tempat yang memancarkan ketenangan dan penghargaan kepada V sebagai artis global, menjadikan ia ruang simbolik untuk peminat mengingati sumbangan V dalam dunia muzik dan budaya.
Selain Perancis, sambutan turut berlaku di negara lain seperti di China dan Rusia.

Peminat menyewa sebuah Airbus A320 dari China Express Airlines, menghiasi bahagian dalam pesawat dengan gambar V dan mesej hari jadi manakala di Rusia, Sun of Moscow, roda Ferris tertinggi di benua itu, diterangi dengan warna ungu dan hijau, menandakan penghormatan global kepada artis berkenaan. -Boom!









