Pelakon kacak, Ben Amir mengejutkan peminat apabila mendedahkan dirinya kini memulakan kehidupan baharu di Pulau Siargao, Filipina.
Menerusi video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya, Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin berkongsi bahawa dia telah meninggalkan kehidupan kota untuk membina sesuatu yang baharu di pulau tersebut.
“Baru-baru ini saya membuat keputusan untuk meninggalkan kehidupan kota dan membina hidup baru di pulau ini. Sekarang ini saya nak biasakan diri dengan kehidupan pulau, berkenalan dengan orang baharu, belajar adat dan budaya Filipina,” katanya.
Menurutnya, dia kini sedang merancang untuk menyiapkan rumah, membina vila, memulakan perniagaan dan tidak lama lagi akan membuka ladangnya sendiri.
Di ruangan komen, rata-rata peminat memberikan sokongan penuh terhadap keputusan Ben dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan. – BOOM!