Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan selepas mengalami reaksi alahan yang semakin memburuk sehingga mengganggu sistem pernafasannya.
Menurut Aliff, 38, gejala bermula dengan kegatalan ringan namun bertukar serius apabila seluruh badannya mula dipenuhi tompok-tompok merah, disertai rasa pening dan kesukaran bernafas.
“Saya terasa pening dan susah bernafas.
Badan gatal-gatal, mula-mula sikit lepas itu satu badan jadi kemerah-merahan,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.
Difahamkan, simptom berkenaan telah dialaminya sejak dua hari lalu dan pada awalnya disangka hanya masalah kulit biasa.
Namun, selepas menerima banyak nasihat daripada pengikutnya di media sosial, dia akhirnya ke klinik dan menerima suntikan.
“Pengikut saya suruh pergi hospital. Lepas sesi live, saya terus ke klinik dan kena cucuk.
Keadaan tak surut, keesokannya pergi lagi klinik, selepas itu baru saya pergi hospital,” jelasnya.
Berdasarkan maklumat perubatan, reaksi alahan kronik seperti yang dialami Aliff boleh mengakibatkan Anaphylaxis iaitu satu keadaan kecemasan perubatan yang boleh menyekat saluran pernafasan dan menurunkan tekanan darah secara drastik.
Situasi itu, jika tidak dirawat segera, boleh membawa kepada risiko maut.
Aliff turut berkongsi beberapa video ketika berada di hospital, termasuk keadaannya yang kelihatan lemah dan masih dipantau doktor. – BOOM!



![[V] Alami Alahan Teruk, Aliff Syukri Dikejarkan Ke Hospital](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2025/07/TOKLEP-FEATURE-750x375.png)





