Pengacara dan pelakon berbakat, Uyaina Arshad, berkongsi berita gembira mengenai kehamilan anak ketiganya yang kini berusia 25 minggu menerusi hantaran di Instagram baru-baru ini.

Namun di sebalik kegembiraan itu, Uyaina memaklumkan bahawa kandungannya memerlukan pemantauan rapi selepas antibodi baharu dikesan dalam tubuhnya akibat transfusi darah yang pernah dijalani sebelum ini.
“Rupanya, badan saya telah membentuk antibodi baharu… dan antibodi baru ini menyebabkan kandungan saya kali ini perlu dipantau dengan lebih rapi,” katanya.
Menurut Uyaina, antibodi tersebut berisiko menyerang sel darah merah bayi kerana dianggap sebagai benda asing.

Bagaimanapun, Uyaina menzahirkan rasa syukur apabila keadaan dirinya dan bayi ketika ini berada dalam keadaan baik.

Uyaina sebelum ini dikenali sebagai juara Nona Manis 2015 dan pernah mengacarakan program popular seperti Mingguan Wanita serta Wanita Hari Ini.

Peminat turut membanjiri ruangan komen dengan doa dan ucapan agar beliau serta bayi sentiasa sihat dan dilindungi. -Boom!









