Pendakwah Asma’ Harun membidas tindakan pempengaruh Sasha Abdul Aziz susulan mempromosikan rawatan laser untuk mengetatkan faraj di media sosial.

Beliau menjelaskan, proses mengetatkan faraj untuk tujuan kosmetik atau kepuasan hukumnya adalah haram kerana ia mengubah ciptaan Allah sekali gus mendedahkan aurat wanita tanpa keperluan.
Asma’ memetik pandangan Dr. Soleh Muhamad al-Fawzan, bahawa pembedahan faraj hanya dibenarkan untuk masalah perubatan seperti kecacatan akibat kemalangan, penyakit, atau kelemahan otot yang mengganggu fungsi faraj.

Beliau menekankan bahawa kelonggaran faraj adalah proses semula jadi akibat penuaan dan kelahiran, dan hukum bergantung kepada niat sama ada dharuriyah (keperluan asas) atau tahsiniyyah (kesempurnaan).
Terdahulu, pempengaruh Sasha Abdul Aziz memuat naik hantaran di Threads mengenai rawatan laser itu yang bertujuan untuk mengetatkan otot faraj.

Dalam hantaran tersebut beliau mendedahkan proses yang dijalankan adalah percubaan pertamanya.
Katanya, ia menakutkan tetapi tidak sakit sambil mempromosikan rawatan tersebut.

Bagaimanapun, Sasha mengambil maklum teguran diberikan Asma selain mengakui topik itu sensitif serta berjanji akan lebih berhati-hati dalam memuat naik perkongsian selepas ini.
“Saya faham topik ini sensitif. Saya berkongsi perjalanan sebagai ibu jujur tentang kesihatan wanita selepas melahirkan. Melihat ia haram, saya belajar perkara baru.
“Saya akan kurangkan perkongsian, niat saya tidak menyinggung sesiapa, dan saya turunkan pos itu,” katanya. -BOOM!









