Pelanggan terawal yang berkunjung ke Restoran Rembayung milik pempengaruh Khairul Aming mula berkongsi resit harga serta pengalaman mereka di media sosial.

Ramai pelanggan dilihat berpuas hati dan menyifatkan harga yang ditawarkan restoran masakan Melayu itu sebagai berpatutan serta berbaloi dengan kualiti hidangan.

Menurut perkongsian seorang warga maya di Threads, kebanyakan menu yang dicuba mempunyai rasa yang sedap sesuai dengan saiz hidangan lauk yang besar dan mengenyangkan.

Kata @wthiqah masakan daging lemak dinilai dengan pencapaian sederhana pada skor 6/10 kerana tekstur daging agak liat dan rasa asap (smoky) yang terlalu kuat.
“Ini ulasan masakan jujur Rembayung,” katanya.

Namun, menurut beliau, masakan ayam lemak menerima pujian tinggi dengan skor 9/10 apabila kepedasannya disifatkan berdesing telinga, selain potongan ayam yang banyak dan berisi.
“Bagi siakap sambal 10/10 sebab pedas dan cukup rasa manakala udang sambal juga 10/10 kerana manis, petai banyak dan udang yang segar,” katanya.

Selain makanan, menurut beliau suasana dalam restoran turut dipuji kerana selesa dan nyaman.
“Layanan kakitangan juga mesra serta membantu pelanggan ambil gambar,” katanya. -Boom!









