Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles pada Rabu menolak permohonan berkaitan dakwaan serangan seksual yang dikemukakan bekas pembantu bintang Hollywood, Vin Diesel, terhadap pelakon terbabit berhubung insiden yang didakwa berlaku lebih sedekad lalu.

Hakim Daniel M. Crowley dalam hujahnya menyifatkan tuntutan Asta Jonasson sebagai “tidak boleh diterima” dan bercanggah dengan tujuan kod undang-undang negeri.
Beliau turut menjelaskan serangan seksual didakwa berlaku di Georgia, justeru, California bukan di bawah bidang kuasa yang sesuai untuk memfailkan aduan tersebut.

Crowley berkata undang-undang California tidak boleh digunakan untuk mana-mana tuntutan plaintif. Kes itu sepatutnya dijadualkan untuk dibicarakan pada Februari tahun depan.

Peguam Asta, Matthew T. Hale dalam kenyataan, berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan “kesilapan teknikal” dan menurut beliau, mahkamah tidak membuat sebarang penilaian terhadap kebenaran dakwaan.
“Kami dengan hormatnya tidak bersetuju. Jonasson berhasrat untuk merayu,” katanya.
Dalam tuntutan saman difailkan pada Disember 2023, Asta mendakwa, dia diserang secara seksual sewaktu berkhidmat sebagai pembantu Diesel. Peristiwa hitam itu didakwa berlaku pada 2010 sewaktu penggambaran Fast Five berlangsung di Atlanta.

Asta mengemukakan 10 tuntutan, termasuk serangan seksual, tindakan balas dan pelbagai pelanggaran Akta Pekerjaan dan Perumahan Adil California.
Aduan itu juga menuntut tindakan terhadap syarikat penerbitan One Race Films Diesel dan presidennya, Samantha Vincent, iaitu adik perempuan Diesel. Namun, peguam Diesel, Bryan J. Freedman menafikan semua dakwaan. –Boom!









