Anggota kumpulan K-Pop Pentagon, Yan An mengumumkan bahawa dia terpaksa berehat sementara dari semua aktiviti seni susulan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Menerusi siaran langsung bersama peminat pada 22 Julai lalu, Yan An mendedahkan bahawa terdapat tumor pada kepalanya dan dia dijadualkan menjalani pembedahan pada Ogos ini.

“Tumor ini sebenarnya sudah lama ada.
Saya sepatutnya jalani pembedahan sejak dulu lagi, tapi kerja terlalu padat dan saya tak jumpa masa sesuai,” katanya dengan jujur.
Menurut laporan media Taiwan ETtoday, keadaan Yan An mula memburuk baru-baru ini, menyebabkan bengkak dan kesakitan yang membuatkan dia nekad untuk menjalani prosedur tersebut.
“Tumor itu tiba-tiba membesar.
Ia menyakitkan dan bengkak, jadi saya buat keputusan untuk jalani pembedahan,” jelasnya lagi.
Yan An turut berkongsi bahawa dia akan mencukur sebahagian kepalanya sebelum pembedahan dan mengambil masa beberapa minggu untuk pulih.
Namun begitu, Yan An sempat menenangkan para peminatnya yang risau akan keadaan dirinya.
“Ini bukan penyakit serius.
Saya harap anda semua jangan terlalu risau,” ujarnya.

Untuk rekod, Yan An mula dikenali selepas debut bersama Pentagon pada tahun 2016.
Selepas kontraknya bersama Cube Entertainment tamat pada 2023, dia aktif mengembangkan kerjaya sebagai pelakon di China. – BOOM!









