Pelakon Hollywood terkenal, Tom Cruise dilaporkan menolak jemputan untuk menjadi penerima awal Kennedy Center Honors semasa penggal kedua Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House.
Menurut laporan Washington Post, Cruise diundang untuk menerima pengiktirafan berprestij itu namun menolak atas alasan “konflik jadual”.
Jurucakap pelakon Top Gun itu bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen.
Pada Rabu lalu, Trump mengumumkan nama-nama penerima Kennedy Center Honors termasuk ikon filem, Sylvester Stallone dan legenda muzik country, George Strait.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Presiden itu untuk memperkukuh kawalan terhadap kompleks seni Kennedy Center.
Walaupun menolak jemputan tersebut, Cruise masih dijadualkan menerima anugerah kehormat bagi sumbangannya dalam industri perfileman sebelum akhir 2025.
Pada Jun lalu, Academy of Motion Picture Arts & Sciences mengumumkan beliau bakal menerima Oscar Kehormat pada 2025 Governors Awards yang akan berlangsung pada 16 November. – BOOM!









