Pelakon berpengalaman, Tony Eusoff meluahkan rasa kecewa apabila kisah silam berkaitan isu penyalahgunaan dadah yang berlaku lebih sedekad lalu masih terus dijadikan bahan kecaman oleh segelintir netizen.
Menurut Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 48, beliau sudah pun menerima hukuman atas kesilapan tersebut dan menegaskan perkara itu tidak perlu lagi diungkit.

“Ya, betul. Saya kena ban sebab salah saya sendiri, bukan salah orang lain.
Malah saya sudah selesai menjalani hukuman dan dibebaskan selepas beberapa bulan meringkuk dalam penjara.”
Tony berkata demikian menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya baru-baru ini.
“Tapi apa niat awak nak timbulkan isu ini? Saya cuma ingin tahu. Mohon pencerahan,” tulisnya lagi.
Pelakon filem Mencari Ramlee itu juga mengakui dirinya sudah lama ‘move on’ daripada insiden berkenaan namun tidak menafikan masih ada pihak yang memilih untuk terus membenci tanpa sebab.
“Haih, kisah 10 tahun lalu. Tolonglah, tolong saya move on.
Saya pernah berhutang dengan awak ke? Benci sangat sebab apa ya?
Saya rasa haters gonna hate lah kan,” katanya.
Untuk rekod, Tony Eusoff dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Singapura pada 2015 selepas didapati memiliki dadah jenis ganja.
Kini selepas lebih 10 tahun, Tony berharap masyarakat lebih bersikap terbuka dan memberi peluang kedua buat insan yang ingin memperbaiki diri, bukannya terus membayangi mereka dengan kisah silam. – BOOM!









