Pelakon Kilafairy mengakui pernah terlintas untuk membuka tudung, namun bersyukur masih kekal istiqamah.

Pengakuan jujur aktres itu untuk membuka tudung ternyata mengejutkan ramai.
“Kadang-kadang terfikir, senangnya kalau tak pakai tudung. Nak keluar ke mana-mana, nak pergi acara, semuanya terasa lebih mudah,” katanya.

Namun jelas Kilafairy, perasaan itu tidak bermakna dia lemah, sebaliknya satu ujian yang hampir semua wanita bertudung pernah lalui.
“Saya rasa bukan saya seorang saja. Semua hijabi (wanita bertudung) di dunia ini pernah melalui perasaan seperti ini. Dan perasaan itu sah,” katanya dalam satu video temubual bersama Mstar.

Beliau turut mengakui, walaupun masih menerima tawaran kerja, cabaran wanita yang bertudung tetap wujud dari segi penampilan dan persepsi industri.
Namun, kasih sayangnya terhadap tudung membuatkan dia tidak mampu melepaskannya.
“Saya sayang sangat. Saya fikir balik macam mana saya dapat hidayah itu, betapa istimewanya perjalanan tersebut,” luahnya.

Sokongan orang ramai, doa keluarga termasuk arwah bapanya menjadi kekuatan utama Kila untuk terus istiqamah.
“Tidak, Kila sendiri sayang sebab sudah lama memakainya. Hidayah yang Kila dapat istimewa. Jadi apabila terlintas mahu membuka tudung, perasaan sayang itu datang.
“Alhamdulillah. Kila rasa ini juga berkat doa orang ramai, doa Kila sendiri dan doa ayah Kila. Jadi, doakanlah.”– BOOM!









