Lama berdiam diri, pelakon dan pelawak Joey Daud akhirnya membuka cerita mengejutkan bahawa dia pernah menjadi mangsa sihir ketika menyertai sebuah program lawak popular.
Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, 51, berkongsi pengalaman itu dalam sebuah sesi audio siar baru-baru ini. Katanya, insiden itu berlaku secara tiba-tiba ketika hampir menamatkan persembahan pentas.

“Saya ingat lagi, juri dah bagi markah tinggi.
Tapi seminit sebelum tamat, telinga saya tiba-tiba berdesing, langsung tak dengar apa-apa.
Badan berpeluh, tapi saya cuba sengih macam biasa supaya orang tak tahu saya diserang,” ujarnya.
Tambah Joey, sejurus turun dari pentas, dia hampir tumbang dan bernasib baik diselamatkan rakan seperjuangan, Khir Rahman.
“Lepas minum air, bahagian kiri badan saya terus lembik, langsung tak boleh gerak,” tambahnya.
Joey kemudian mendapatkan rawatan hospital dan berjumpa tiga ustaz sebagai alternatif.
Dua daripadanya mengaku tidak mampu merawatnya, sebelum seorang ustaz di Ipoh mengesahkan ada sesuatu ‘menumpang’ dalam dirinya.
“Ustaz tu tiada TV di rumah, tapi tahu saya masuk pertandingan.
Dia minta saya banyakkan zikir.
Katanya, dia tahu siapa buat, tapi saya tak izinkan dia beritahu.
Dia pesan, jangan ambil kerja Tuhan,” cerita Joey.
Joey turut mendakwa dapat mengagak individu yang terlibat selepas melihat reaksi salah seorang peserta ketika sesi latihan.

“Saya ajak dia bergabung latihan, tapi dia terus tepis tangan saya.
Katanya panas.
Dari situ saya rasa mungkin dia, atau penjaga dia yang buat,” tambahnya lagi.
Meskipun mengalami kesakitan luar biasa, Joey tetap profesional meneruskan pertandingan.
Difahamkan, Joey bertanding dalam program itu pada tahun 2020 menerusi kumpulan J-Born bersama Khir Rahman dan Vicha. – BOOM!









