Pemegang watak ikonik Iron Man, Robert Downey Jr. (RDJ), dijangka membuat kemunculan semula dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) sebagai watak jahat Doctor Doom.
Namun, peminat terpaksa bersabar sedikit lagi apabila Disney mengumumkan penangguhan dua filem Avengers yang dinanti-nantikan.

Menurut pengumuman rasmi dari Disney, filem Avengers: Doomsday yang menandakan kemunculan semula RDJ kini akan ditayangkan pada 18 Disember 2026, lewat tujuh bulan daripada tarikh asal, 1 Mei 2026.
Filem tersebut kini dalam fasa penggambaran selepas pengumuman barisan pelakon besar-besaran awal tahun ini.
Turut ditunda ialah Avengers: Secret Wars, yang berpindah tarikh ke 17 Disember 2027 berbanding perancangan asal 2 Mei 2027.
Menurut sumber yang dipetik Reuters, penangguhan ini dibuat bagi memberi lebih masa kepada pembikin filem untuk menyiapkan dua projek gergasi ini.
Kedua-dua filem merupakan sebahagian daripada Fasa VI MCU dan diarahkan oleh Russo Brothers, yang sebelum ini mengarahkan dua filem MCU paling laris iaitu Avengers: Endgame dan Infinity War, masing-masing meraih lebih USD 2 bilion seluruh dunia.
Avengers: Endgame (2019) masih memegang rekod sebagai filem kedua paling tinggi kutipan sepanjang zaman dengan USD 2.8 bilion, di belakang Avatar (USD 2.9 bilion).
Marvel dan Disney kini berharap Doomsday dan Secret Wars mampu menyamai kejayaan filem sebelumnya dan mengembalikan kegemilangan francais MCU yang kekal sebagai paling menguntungkan dalam sejarah perfileman. – BOOM!









