Pelakon Syaiful Zero yang membawakan watak abang garang dalam filem Duyung: Legenda Aurora, menjanjikan aksi silat penuh bertenaga serta karakter unik yang pasti menghiburkan penonton di layar perak.

Menurutnya, meskipun wataknya tegas, sisi menyeronokkan yang dipersembahkan menjadikan filem itu sesuai ditonton seisi keluarga.
“Walaupun saya abang yang garang, tapi saya punya ekor duyung cantik. Apa lagi dalam air laut. Lagi satu saya puas hati dapat belasah saya punya adik-adik dalam film Duyung: Legenda Aurora. Kalau kamu mahu tengok aku main silat, jom pergi panggung wayang sekarang,” katanya.

Menurut Syaiful, 37, Duyung: Legenda Aurora turut menyajikan visual dunia duyung yang memukau, terutama babak di laut, sekali gus menawarkan pengalaman sinematik berbeza daripada filem tempatan lain dan wajar disaksikan di pawagam.

Sementara itu, adiknya Atu Zero yang memegang watak Jojet menjelaskan, meskipun karakternya jahat, ia mempunyai hati yang baik, sekali gus memberi warna emosi kepada jalan cerita.
“Duyung: Legenda Aurora adalah filem komedi. Walaupun watak saya jahat, si Aurora sudah cakap hati saya baik. Kalau kamu tidak percaya, kamu tengok nanti,” katanya.
Mereka yang sebelum ini pernah berdepan konflik turut sanggup mengetepikan ego demi menjayakan projek ini, menjadikan filem tersebut lebih bermakna untuk ditonton oleh peminat.

Untuk rekod, Duyung, Legenda Aurora terus mencatat kejayaan dengan kutipan yang kini mencecah RM1 juta sejak ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 25 Disember lalu. –Boom!









