Pelakon dan penyanyi terkenal Korea, Suzy tampil menghulurkan bantuan dengan menyumbang sebanyak ₩100 juta (~RM340,000) kepada mereka yang terjejas akibat kebakaran hutan besar-besaran di Ulsan, Gyeongsang Utara dan Gyeongsang Selatan.
Menurut kenyataan Hope Bridge Korea Disaster Relief Association pada 26 Mac lalu, agensi Suzy berkata:
“Suzy tersentuh dengan berita kebakaran hutan yang semakin merebak dan berasa terpanggil untuk membantu di saat genting ini. Dia berharap agar api dapat dipadamkan segera dan semua mangsa dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.”
Suzy juga merupakan ahli Hope Bridge Honors Club, kumpulan penyumbang besar yang sentiasa menyokong usaha bantuan bencana sejak tahun 2019. Setakat ini, jumlah sumbangan keseluruhan Suzy kepada Hope Bridge telah mencecah ₩600 juta (~RM2 juta).
Setiausaha Agung Hope Bridge, Shin Hoon turut memuji tindakan murni Suzy:
“Sumbangan Suzy adalah satu mesej harapan buat ramai mangsa. Kami akan pastikan bantuan ini disalurkan sebaik mungkin.”
Bukan hanya Suzy, ramai lagi selebriti Korea tampil menghulurkan sumbangan, antaranya penyanyi Lee Chan-won, National MC Yoo Jae-suk, Go Min-si, pelakon Chun Woo-hee, Yim Siwan, So Yoo-jin dan ramai lagi.
Ketika kebakaran di kawasan Yeongnam kini memasuki hari keenam, pelbagai pihak termasuk selebriti bersatu membantu meringankan beban mangsa bencana. – BOOM!