Kumpulan K-pop sensasi Stray Kids sekali lagi mencipta sejarah apabila lagu hit mereka, God’s Menu secara rasmi melepasi 500 juta strim di Spotify, menjadikannya pencapaian pertama bagi kumpulan lelaki generasi keempat K-pop itu.

Pencapaian luar biasa itu diumumkan oleh agensi mereka, JYP Entertainment, sekali gus mengukuhkan status Stray Kids sebagai antara kumpulan paling berpengaruh di peringkat global.
God’s Menu, single utama daripada album penuh pertama Stray Kids yang dilancarkan pada 2020, ditulis dan digubah oleh 3RACHA iaitu unit produksi dalaman kumpulan itu yang terdiri daripada Bang Chan, Changbin dan Han.

Lagu tersebut menjadi titik perubahan besar dalam kerjaya mereka, dikenali dengan bunyi agresif, lirik berani serta persembahan eksperimental yang membezakan Stray Kids daripada kumpulan lain.

Sejak itu, populariti Stray Kids melonjak dengan ketara, membuka laluan kepada pentas antarabangsa berskala besar.

Pada 22 Jan lalu, kumpulan terdiri daripada lapan anggota itu tampil membuat persembahan di acara amal berprestij Le Gala des Pièces Jaunes di Paris La Défense Arena, bergandingan dengan nama besar dunia muzik.
Kejayaan ini tidak terhenti di situ apabila Stray Kids turut dijadualkan menjadi penyanyi utama di festival muzik terkenal dunia iaitui Governors Ball di New York pada Jun dan Rock in Rio di Brazil pada September depan. – BOOM!









