Sebuah program rancangan hiburan di Mexico dilaporkan mencetuskan kontroversi selepas beberapa komen yang mengecam BTS dan peminat mereka, ARMY.
Rancangan tersebut disiarkan bulan lalu berbincang mengenai harga tiket dan sambutan luar biasa konsert jelajah dunia BTS di Mexico City.

Dalam perbincangan itu, beberapa hos televisyen membuat kenyataan mengenai peminat BTS terutamanya berkaitan peningkatan harga tiket.
“Di Mexico, harga konsert penyanyi antarabangsa telah meningkat dua atau tiga kali ganda sejak kebelakangan ini. Konsert Shakira juga tidak terkecuali,” kata Yvonne Chavez.
Luisa Fernanda turut menambah jika Shakira datang semula, perkara yang sama akan berlaku.

Walaupun harga meningkat, masih lagi ada peminat yang tetap datang menonton walaupun secara berulang.
Apabila topik beralih kepada BTS, Fabian Lvalle memberitahu dia tidak akan membenarkan anaknya menonton konsert yang tidak berfaedah.
“Jika saya mempunyai anak perempuan berusia 17 tahun, saya tidak akan membenarkannya pergi ke konsert. Saya akan menyuruhnya menyiapkan kerja sekolah di rumah.
“Ini bukan masanya untuk menangis dan merungut kerana persembahan penyanyi yang tidak dikenali,” katanya.

Yvonne pula berpendapat ibu bapa tidak wajar merendahkan impian anak muda.
“Melihat BTS secara langsung adalah impian besar segelintir anak muda,” katanya.
Namun, Luisa mencetuskan kontroversi lebih besar apabila berkata dia yakin separuh daripada peminat BTS tidak menamatkan sekolah rendah.
Sejurus selepas siaran, kecaman membanjiri media sosial apabila peminat BTS memuat naik video dan hantaran mendedahkan latar belakang pendidikan serta kerjaya mereka yang antaranya peguam, doktor, veterinar dan jurutera.

BTS dijadualkan membuat persembahan di Stadium GNP Seguros di Mexico City pada 7, 9 dan 10 Mei ini.
Malah, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, dilaporkan turut meminta Presiden Korea Selatan agar mengadakan satu lagi konsert tambahan BTS pada bulan sama. – BOOM!









